PETALING JAYA – Sejak mendirikan rumah tangga dengan rakan baiknya, Angeline Tan, pelakon Sabri Yunus menunjukkan perubahan ketara dalam hidupnya.
Perkara itu didedahkan anak sulungnya, Saidi Sabri, 32, yang memaklumkan Sabri tampak lebih gembira dan bersemangat.
“Dulu ayah seorang diri, sekarang sudah berteman memang berbeza. Sekarang ayah nampak lebih sihat, berseri, segak dan bersemangat,” ujarnya.
Menurut anak-anak Sabri, mereka tidak terkejut dengan keputusan bapa untuk berkahwin dengan Angeline, sebaliknya menerima berita tersebut dengan rasa gembira dan syukur.
“Alhamdulillah, selepas 16 tahun ayah menyendiri sekarang sudah ada peneman. Sudah tentu kami gembira.
“Sebenarnya kami tidak terkejut sebab ayah dan auntie (panggilan untuk Angeline) sudah berkawan lama dan mula rapat sejak PKP pada 2020.
“Walaupun ayah tidak beritahu, kami dapat agak sebab ayah selalu keluar dengan auntie. Jadi, bila ayah beritahu mahu berkahwin, kami langsung tidak terkejut,” tutur anak kedua Sabri, Syamimi, 30.
Tambah mereka, selain sudah menganggap Angeline seperti ibu kerana mengenalinya sejak kecil, wanita itu cukup istimewa kerana berjiwa penyayang.
Sikap tersebut membuatkan mereka adik-beradik yakin Angeline mampu menggembirakan dan menjaga Sabri dengan baik.
“Kami tertarik dengan auntie kerana dia sangat baik, penyayang dan bertanggungjawab.
“Soal panggilan kami kekalkan auntie kerana sudah terbiasa sejak kecil. Lama sudah kami mengenalinya, rasa kekok pula kalau tiba-tiba ubah panggilan lain.
“Panggilan auntie tidak bermakna kami tidak menganggap dia seperti ibu. Rasa itu (anggap seperti ibu) sudah ada sejak kami kecil, dia layan kami seperti anaknya,” kata si bongsu, Syazni Sabri, 28.
Pasangan mempelai itu diraikan dalam majlis persandingan kali ketiga di Rose Hall, Glo Mall Damansara di sini semalam.
Sabri dan Angeline atau nama islamnya, Ardini Angeline Tan bernikah pada 14 Oktober lalu dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis tertutup di Kangar, Perlis.
Mereka dinikahkan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Pasangan ini terkenal menerusi sitkom arahan Othman Hafsham, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Sabri sebelum ini kehilangan isteri, Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sementara itu, Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu. -HIBGLAM