JOHOR BAHRU – Bermula dengan belajar secara suka suka untuk membuat rempah bagi mengisi masa cuti sekolah, seorang usahawan di Jalan Padang 1, Stulang Baru di sini tidak menyangka perniagaan tersebut serasi dengannya sehingga menyumbang sebagai pendapatan utama.
Lebih menarik, pengalaman tersebut membolehkan Abdul Wahid Mohamad Shariff, 51 mewarisi perniagaan rempah AMS yang telah beroperasi sejak 49 tahun lalu.
Pemilik baharu syarikat tersebut mengambil alih perniagaan tersebut pada tahun 1992 sejak kematian bapanya, Allahyarham Mohamad Shariff Abdul Karim.
Bapanya itu telah mula menjalankan perniagaan berkaitan rempah ratus di sini dengan memproses rempah kari ikan, daging dan beriani kurma secara tradisional dan manual.
“Saya belajar membuat rempah daripada orang tua sejak kecil ketika cuti sekolah lagi secara suka-suka.
“Apabila sudah mahir membuat rempah dan mengenali bahan-bahan utamanya saya berazam satu hari nanti akan menjadi seorang usahawan rempah ratus.
“Alhamdulillah, dengan bantuan isteri dan anak-anak, perniagaan rempah terus mendapat permintaan daripada orang ramai yang mengenali jenama AMS,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Walid, isterinya, Sherina Hassan, 47, turut membantu menguruskan perniagaanya terutama dalam aspek pengurusan dan pentadbiran sementara anak-anaknya membantu dalam bidang promosi, pemasaran serta pengedaran produk.
Kini, perniagaan AMS terus berkembang maju dengan menghasilkan pelbagai produk berasaskan rempah antaranya rempah nasi arab, ibu beriani, rempah kari ikan, daging dan beriani kurma.
Selain rempah, AMS juga memasarkan tepung kacang hijau dan tepung muruku yang diproses sendiri.
“Isteri saya turut memasarkan pes asam pedas asli yang dibuat sendiri sesuai dengan cita rasa orang ramai,’’ jelasnya.
Jelasnya, proses mengisar dan pembungkusan dilakukan secara manual untuk mengekalkan rasa dan bau aroma rempah aslinya.
“Permintaan akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan antaranya hari raya, Deepavali dan musim perkahwinan selain majlis-majlis keramaian,”katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, banyak tempahan produk dibuat melalui panggilan telefon dan edaran rempahnya boleh didapati di kedai runcit serta pasar di seluruh Johor.