fbpx

Bicara 1MDB Najib: Pendakwaan dibenar pinda tiga pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (tengah) diiringi pegawai penjara ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh M. FIDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiga pertuduhan itu ialah dua pertuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan demikian selepas mendapati permohonan pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan tersebut itu tidak mempunyai mala fide (niat jahat) selain pindaan yang dibuat tidak akan memprejudiskan tertuduh.

“Pindaan hanya melibatkan jumlah wang dan tidak memprejudiskan tertuduh (Najib). Neratif pendakwaan membabitkan tuduhan dalam kes itu juga tidak berubah,” kata hakim itu.

Sejurus selepas keputusan permohonan itu, tiga pertuduhan pindaan kemudian dibacakan semula dan Najib mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar menfailkan permohonan itu untuk meminda jumlah wang dengan pengurangan dari RM2.28 bilion ke RM2.27 bilion yang mana pengurangan itu kira-kira RM5,360,065.

Kamal Baharin ketika berhujah berkata, pindaan tiga pertuduhan itu sama sekali tidak akan memprejudis atau merugikan tertuduh kerana Najib akan diberi setiap peluang untuk membela diri.

Katanya, permohonan pindaan itu juga selaras dengan prinsip undang-undang dan tidak memudaratkan tertuduh.

“Berdasarkan hujah dikemukakan, permohonan untuk meminda pertuduhan perlu dibenarkan kerana dilakukan untuk memberi perincian yang lebih jelas mengenai pertuduhan terhadap tertuduh.

“Pihak pembelaan juga belum selesai pemeriksaan mereka terhadap SP47 (saksi pendakwaan ke-47 yang juga penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Adam Ariff Mohd. Roslan) dan beberapa saksi lain.

“Dalam apa jua keadaan, Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) membenarkan mana-mana saksi dipanggil semula untuk pemeriksaan balas dengan lebih lanjut,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Najib, 69, didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI