SHAH ALAM – Nama ‘dipetik’ terkait dalam siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), pelakon Ruhainies mengakui tiada apa perlu dibimbangkan memandangkan dirinya bersih daripada sebarang aktiviti haram.
Katanya, orang luar serta peminat boleh melihat sendiri kesibukkannya mencari rezeki halal dengan memenuhi tawaran penggambaran, selain aktif sebagai duta jenama selain mempromosikan produk yang turut dikongsi menerusi laman sosial.
“Sebenarnya saya pun ada dengar mengenai gosip seorang artis wanita berkulit gebu dan mengamalkan gaya hidup mewah sedang disiasat bawah Kes AMLA.
“Awalnya saya tak peduli sebab kita tiada kaitan sampailah ada peminat DM (mesej langsung), begitu juga dengan kawan-kawan ada bertanya sebab pembayang diberi putih-putih gebu.
“Bila sebut gebu itu yang buat orang ‘petik’ nama saya serta beberapa lagi selebriti lain termasuk Daiyan Trisha, cuma gaya hidup mewah bukan sayalah sebab saya biasa-biasa saja,” katanya ketika ditemui pada program Famili Duo musim tiga (FD3), malam tadi.
Pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, itu turut berharap pihak yang menyebarkan khabar tersebut tidak memberi bayangan mengelirukan sehingga mencetuskan tuduhan terhadap orang yang tidak bersalah.
Katanya, walaupun tiada sebarang kaitan dengan dakwaan tersebut, gosip berkenaan mencetuskan kerisauan keluarga yang tidak mahu urusan harian dan kehidupannya terganggu.
“Memang orang paling risau tentu keluarga tapi mereka pun faham kebiasaannya khabar seperti ini hanya bagi bayangan, tetapi kalau betul dan pihak berwajib sudah sahkan boleh saja sebut nama.
“Jadi tidaklah sesiapa yang seakan-akan sama dengan bayangan diberi terpalit sama. Contoh macam kes AMLA itu, katalah ada 10 artis yang kulit putih, memang senarai ini dicop ada kaitan tanpa usul periksa.
“Saya pun tak mahu ulas panjang, cuma tahu kalau kita tak bersuara nanti disangka memang individu terbabit. Jadi saya tegaskan bukan saya,” ulasnya.
Sebelum ini ruangan gosip sebuah portal hiburan melaporkan seorang selebriti wanita sedang dalam pemantauan Bank Negara kerana mempunyai kekayaan luar biasa.
Artis terbabit dikatakan sering mendapat tawaran lakonan, duta beberapa produk penjagaan diri dan digambarkan seorang individu memiliki rupa paras jelita serta berkulit putih gebu. – KOSMO! ONLINE