KUALA LUMPUR – Sasaran pengeluaran padi sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2030 menerusi inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) boleh dicapai tanpa perlu menambah saiz jepalang padi kepada 1 juta hektar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, sasaran Kadar sara diri (SSR) beras negara sebanyak 75 peratus menjelang 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030 ketika ini adalah realistik.
“Ini boleh dicapai tanpa menambah saiz jelapan padi kerana ini bergantung kepada tahap penghasilan untuk satu hektar. Itu yang lebih penting.
“Sekarang kita capai 62.6 peratus kerana “yield” untuk padi kita sekitar 3 ke 3.4 tan per hektar. Kalau dapat tingkatkan itu kepada enam tan per hektar boleh capai 80 peratus.
“Jadi ini bukan saja hendak melihat kepada saiz geografi, tetapi berapa kita dapat per hektar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) sama ada kerajaan menyasarkan 1 juta jelapang padi di Malaysia untuk memastikan keterjaminan beras.
Menurut beliau, tambahan tanah seluas 55,000 hektar di Sabah dan Sarawak untuk penanaman padi seperti dumumkan kerajaan terlalu kecil.
Terdahulu, Foong Hin memaklumkan, SMART SBB menerusi Model Mini Sekinchan dan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun akan mempertingkatkan produktiviti padi.
Kata beliau, matlamat pelaksanaan Program SMART SBB untuk mencapai SSR beras negara kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030. – KOSMO! ONLINE