KAJANG – Seramai 603 orang mangsa terdiri daripada 162 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana banjir yang dihadapi di beberapa daerah di Selangor.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, satu PPS iaitu Dewan Seroja Kampung Bendahara, Gombak menempatkan lima mangsa daripada tiga keluarga masih dibuka setakat pukul 8 pagi tadi.
“Di Hulu Selangor, seramai 15 mangsa terdiri daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Desar Hulu Yam Bharu.
“Di Hulu Langat pula, seramai 96 mangsa terdiri daripada 23 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bangi dan Sekolah Kebangsaan Semenyih.
“Di Sepang, seramai 477 mangsa terdiri daripada 133 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Kampung Datuk Ahmad Razali, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, hanya satu PPS sahaja dibuka di daerah Petaling yang menempatkan 10 mangsa terdiri daripada tiga keluarga di Dewan Serbaguna Camelia MBSJ, Putra Height. – KOSMO! ONLINE