SACRAMENTO, CALIFORNIA – Sekumpulan aktivis pro-Palestin menyekat sebuah kapal milik tentera Amerika Syarikat (AS) selama beberapa jam di Pelabuhan Oakland kelmarin.
Portal berita The Palestine Chronicle melaporkan, kapal MV Cape Orlando itu dipercayai menuju ke Israel dengan membawa senjata dan peralatan-peralatan lain.
Diketuai oleh Pusat Penganjuran Sumber Arab yang berpangkalan di San Francisco, protes bermula awal pagi itu berlarutan sehingga ke waktu petang.
Beberapa penunjuk perasaan turut dirakam memanjat naik ke atas kapal pengangkut kontena tentera itu menggunakan tali.
“Ia adalah kapal tentera AS. Ia dijadualkan untuk berlayar ke Tacoma (Washington), memuatkan senjata tentera dan membawanya ke Israel,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Meena Abushamala.
Penunjuk-penunjuk perasaan itu kemudian dikeluarkan dari kapal tersebut sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan).
Tiga ahli kumpulan tersebut kemudian ditahan oleh Pengawal Pantai AS yang mempunyai bidang kuasa ke atas perairan itu. – Agensi