BEIJING, China – Seorang wanita di wilayah Sichuan mengadakan acara pengebumian untuk diri sendiri dalam usahanya untuk pulih selepas putus cinta, lapor portal berita South China Morning Post hari ini.
Wang, 25, menjemput rakan-rakannya menghadiri acara pengebumian itu untuk ‘mengucapkan selamat tinggal’ kepadanya pada 28 Oktober lalu.
Hubungan Wang dengan teman lelakinya selama tiga tahun berakhir enam bulan lalu selepas ibu bapanya tidak membenarkan mereka berkahwin.
Sejak menghadiri beberapa majlis perkahwinan baru-baru ini, Wang tertekan kerana sering disoal oleh rakan-rakannya mengenai tarikh perkahwinannya.
Wang berniat mengadakan acara pengebumian itu untuk memberi peluang kepada rakan-rakannya berkumpul dan menandakan kebangkitan hidupnya tanpa teman lelaki.
Lebih 12 rakan Wang dijemput ke sebuah kedai bunga di bandar Chengdu dengan tempat itu disediakan secara percuma oleh pemilik kedai tersebut.
Rakaman kejadian memaparkan Wang berbaring di atas katil dikelilingi lilin, manakala rakan-rakannya melakukan ritual seperti acara pengebumian. – AGENSI