SUNGAI PETANI – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mendedahkan terdapat rakyat Malaysia yang pernah diselamatkan polis kerana menjadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara bertindak pergi semula ke negara tersebut.
Kata beliau, terdapat juga mangsa yang pergi ke luar negara sudah mengetahui tawaran kerja itu ‘scam’, namun tetap meneruskan hasrat mereka ke sana.
“Ada juga yang tidak ada kena mengena dengan scam pun, dia pergi untuk berjudi di luar negara tetapi kalah, kemudian pinjam along dan dia tak boleh balik kita selamatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan, Sijil Amalan Penguatkuasaan dan Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan kepada 385 graduan daripada kalangan kakitangan AADK di Pusat Latihan AADK Sungai Petani, hari ini.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes yang mana mangsa betul-betul naif dan percaya dengan tawaran diberikan.
Menurutnya, kerajaan akan sedaya upaya untuk membawa pulang rakyat negara ini yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang masih terperangkap di luar negara berdasarkan prinsip ‘the right to return’.
Kata Saifuddin, kerajaan bertanggungjawab membantu rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan tanpa mengambil kira tujuan mereka ke sana.
“Kerajaan akan buat apa sahaja untuk bawa mereka balik yang pertama, untuk itu, kerajaan akan gunakan hubungan diplomatik ataupun agensi ke agensi dan perkongsian maklumat perisikan.
“Yang ketiga, kerjasama ahli keluarga itu juga penting sebab setelah mereka membuat aduan mereka mesti memberikan semua maklumat yang mereka tahu, itu penting sebab sering kali bila kami selamatkan mereka kita cuba buat profiling nak tanya kenapa pergi, siapa yang bawa (tetapi) dia mendarat saja di KLIA dia balik terus,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE