AMPANG – Niat seorang anak meleraikan pergaduhan antara ibu dan bapanya berubah apabila dirinya cedera diterajang di bahagian perut serta ditarik rambut dalam kejadian di kediamannya, di Jalan Dato Abu Samah, Kampung Pasir Hulu Kelang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 1.30 petang.
Katanya, pelajar lelaki berusia 15 tahun yang juga anak kandung suspek berada di rumah ketika kejadian dan telah menghalang tindakan ibu dan ayahnya itu.
“Susulan itu, bapa mangsa secara tiba-tiba terajang, tampar dan menarik rambut mangsa. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury (kecederaan tisu lembut) pada bahagian perut dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bertindak atas maklumat, Mohd Azam memaklumkan sepasukan anggota polis telah membuat tangkapan terhadap suspek seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pemotong rumput.
“Tangkapan terhadap suspek dibuat pada pukul 3 petang di tepi jalan laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), pada hari yang sama,” kata beliau.
Menurut beliau, suspek didapati positif methamphetamin hasil ujian air kencing dilakukan terhadapnya.
“Punca kejadian kerana tidak puas hati apabila mangsa menggunakan motosikal milik ibunya, suspek turut mempunyai lapan rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah,” ujarnya.
Justeru itu, Mohd Azam memaklumkan tindakan reman dikenakan terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini dan akan berakhir pada Rabu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
“Turut disiasat Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.