KUALA LUMPUR – Tindakan suspek menjadikan sebuah rumah sewa jenis apartmen sebagai makmal memproses pil methamphetamin dan ketamin terbongkar dalam satu serbuan di Jalan Kuchai Maju 13, Taman Entrepreneurs, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 5 petang itu dianggotai oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang tidak bekerja ditahan di dalam premis terbabit beserta dadah yang boleh dibekalkan kepada 28,000 pengguna.
“Rampasan yang dibuat membabitkan methamphetamin seberat 8,160 gram (g) dan ketamin anggaran berat 5,374 g yang berada di dalam rumah tersebut.
“Dianggarkan nilai keseluruhan rampasan RM652,100. Turut dirampas alatan yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan mempunyai satu jenayah rekod lampau.
“Suspek akan direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Khamis hadapan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” Katanya.-KOSMO! ONLINE.