PETALING JAYA – “Keluarkan saya dari sini, saya tak boleh bernafas,” itu jeritan seorang kanak-kanak perempuan Palestin meminta pertolongan selepas terperangkap dalam runtuhan akibat pengeboman rejim Zionis Israel.
Video sayu tersebut dikongsikan oleh seorang jurugambar bebas Palestin, Belal Khaled dalam kejadian ketika dia sedang melakukan liputan di kawasan tersebut.
“Semasa liputan, saya terdengar jeritan kanak-kanak perempuan ini di bawah runtuhan. Tiada sesiapa pun di sekitarnya, jadi saya cuba membantunya sehinggalah pasukan keselamatan tiba,” katanya pada keterangan video dimuat naik ke Instagramnya malam tadi.
Berdasarkan situasi pada video itu, mangsa memberitahu, terdapat dinding di atasnya selain ternampak cahaya dari luar, namun tidak dapat bergerak dari situ.
Kemudian, seorang lelaki dipercayai pasukan keselamatan tiba serta mencari jalan untuk mengeluarkan mangsa, sambil meminta dia sentiasa mengingati Allah dan mengucap kalimah syahadah.
“Ingat Allah, pertama sekali ingat Allah. Ada sesiapa bersama awak?,” kata lelaki tersebut sewaktu cuba mencari kanak-kanak itu di bawah runtuhan.
“Kenapa semua ini berlaku kepada kami (sambil menangis). Lailaha ilallah (tiada tuhan melainkan Allah). Cepat sikit, saya tak boleh bernafas. Ashhadu alla ilaha illallah (aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah),” kata kanak-kanak tersebut sambil menggerakkan tangannya kepada pasukan keselamatan.
Sementara itu, Belal menerusi InstaStory memberitahu, seorang lagi mangsa yang juga adik-beradik perempuan kanak-kanak itu terkorban dalam runtuhan tersebut. – KOSMO! ONLINE