fbpx

Piala Cabaran: Kuching City lakar sejarah ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Kelantan United gagal manfaat kelebihan aksi di laman sendiri selepas tewas kepada The Cats petang tadi. - Foto ihsan MFL

KOTA BHARU – Kuching City melangkah ke pentas final Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas membenam Kelantan United 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City melangkah ke final saingan itu dengan agregat 3-1 selepas terikat 1-1 dengan Kelantan United pada perlawanan pusingan pertama.

Kuching City yang terkenal dengan jolokan The Cats kelihatan lebih bernafsu untuk mencari kemenangan dengan menampilkan corak permainan lebih bertenaga berbanding pasukan tuan rumah.

Pasukan pelawat dilihat lebih garang mengatur serangan pada minit-minit awal perlawanan dengan beberapa kali berjaya melepasi barisan pertahanan tuan rumah.

The Cats juga hampir memperoleh gol awal melalui dua percubaan ayam tambatan mereka, Abu Kamara yang tidak dikira kerana dikesan berada pada kedudukan ofsaid dan satu lagi rembatan yang sedikit tersasar.

Pelawat sepatutnya membuka jaringan pada minit ke-36, namun rembatan Amir Amri Salleh dari luar kotak penalti tersasar meskipun sudah menewaskan penjaga gol Kelantan United, Mohd. Shahril Sa’ari yang meluru keluar meninggalkan gawang terbuka.

Kuching City berjaya membuka jaringan apabila Abu Kamara dengan tenang menolak bola ke gawang Kelantan United pada minit ke-39.

Sang Kijang Hijau cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun tandukan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-45 terkena palang dan menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan United terus berusaha mencari gol penyamaan sementara pasukan pelawat terus mengintai peluang untuk menggandakan jaringan.

The Cats menambah derita tuan rumah apabila sepakan percuma diambil Bruno Dybal pada minit ke-63 menerjah tepat ke gawang Kelantan United untuk gol kedua pelawat.

Ketinggalan dua gol, Sang Kijang Hijau menggandakan usaha untuk mencari gol, namun terus berdepan kesukaran untuk memecahkan kejituan benteng pertahanan pelawat yang terus kental mempertahankan kelebihan jaringan dimiliki.

Menuju minit-minit akhir perlawanan, Kuching City terus mendominasi perlawanan untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka sekali gus melangkah ke perlawanan akhir saingan Piala Cabaran MFL dengan agregat 3-1. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI