SEBELUM ini, status semua anggota kumpulan BTS untuk menjalani latihan ketenteraan menjadi perdebatan kerana timbul khabar angin mengatakan mereka diberi pengecualian.
Setakat ini, tiada seorang pun anggota kumpulan itu sudah menjalani latihan. Anggota paling tua iaitu Jin disebut-sebut akan mendahului senarai menjalani latihan wajib tersebut.
Selepas menjadi tanda-tanya, Jin yang muncul bersama anggota lain menerusi sidang akhbar global untuk album baharu mereka berjudul BE baru-baru ini menjawab pertanyaan berkenaan isu tersebut.
Katanya, dia sentiasa bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Republik Korea Selatan jika sudah tiba masanya.
“Setelah arahan mandatori dikeluarkan dan ketika dipanggil negara untuk berkhidmat, kami semua berbesar hati untuk menyerah diri.
“Saya akan melakukan yang terbaik sekiranya sudah tiba masa untuk menabur khidmat kepada negara,” katanya.
Kata penyanyi berusia 28 tahun itu, semua anggota BTS telah mencapai kata sepakat untuk tidak pernah mengenepikan tanggungjawab sebagai rakyat Korea Selatan.