fbpx

‘Nama saya Alias, tapi saya wanita tulen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alias menunjukkan kad pengenalan yang tertera namanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cheting, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seorang wanita warga emas dari daerah ini mengakui sudah lali apabila disangka lelaki hanya kerana namanya Alias.

Alias Ali, 69, berkata, dise­babkan nama itu juga, dia kerap berdepan masalah disebabkan berlaku kekeliruan terutama jika berurusan di klinik, hospital dan pejabat kerajaan.

Menurut ibu tunggal lima anak itu, biarpun terpaksa berdepan dengan masalah tersebut, dia berlapang dada menerima takdir yang tertulis buatnya.

“Sebenarnya ada cerita di sebalik nama Alias. Sewaktu saya dilahirkan, arwah bapa ce­dera terkena kapak sewaktu me­nebang pokok.

“Jadi datuk saya yang kurang pendengaran bertanggungjawab mendaftar kelahiran di balai polis. Saya tidak pasti sama ada arwah menyangka saya lelaki atau anggota polis yang tersalah dengar.

“Saya diberi nama Alias walaupun seorang perempuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cheting di sini semalam.

Menurut warga emas itu, walaupun bernama Alias, dia dibesarkan dan dididik sebagai pe­rempuan oleh ibu bapanya.

“Dulu-dulu memang saya sering diusik dan diejek rakan sebaya sewaktu kanak-kanak dan remaja, namun saya tidak pernah ambil hati dan anggap ia sekadar gurauan,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu menjelaskan, di dalam keluarganya hanya dia seorang yang mempunyai nama ‘unik’ manakala kakak, abang dan adiknya diberi nama Zainun, Mohd. Yusoff dan Mahmud.

Tambah wanita itu, ibu ba­panya pernah menukarkan namanya kepada Kamariah, namun usaha tersebut tidak berjaya kerana terlalu banyak prosedur yang perlu diikuti.

“Zaman dahulu kemudahan jalan raya dan pengangkutan ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara tidak mudah se­perti sekarang,” katanya.

Nenek kepada 13 cucu yang mesra dipanggil Mokyah itu sebaliknya menganggap nama Alias itu mempunyai keunikan yang tersendiri.

Dia yang kehilangan arwah suami lebih 20 tahun lalu akibat penyakit strok bersyukur menikmati kehidupan sempurna berkeluarga walaupun namanya sinonim dengan kaum lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI