MAINZ – Pemain sayap Belanda, Anwar El Ghazi tetap teguh mempertahankan keputusannya menyokong Palestin secara terbuka walaupun menjadi ‘mang-sa’ apabila kontraknya bersama kelab Bundesliga, Mainz musim ini dibatalkan serta-merta.
Sebagai rekod, El Ghazi yang pernah mewakili Aston Villa dan PSV Eindhoven, berhijrah menyertai Mainz pada jendela perpindahan Julai lepas dengan kontrak selama dua tahun sehingga musim 2025.
Namun, pemain berusia 28 tahun itu memilih untuk lantang bersuara menerusi media sosialnya dengan mengecam tindakan rejim Zionis membunuh ribuan penduduk tidak berdosa di Palestin sejak 7 Oktober lepas.
Selepas melakukan beberapa siri perbincangan termasuk penggantungan daripada sesi latihan, kontrak El Ghazi akhirnya dibatalkan oleh pihak pengurusan memandangkan kelab Jerman itu memiliki sentimen yang akrab dengan Israel.
“Demi memastikan kelangsungan kelab, kami mengambil keputusan untuk membatalkan serta-merta kontrak El Ghazi susulan beberapa hantaran yang dimuat naik menerusi media sosialnya baru-baru ini,” menurut kenyataan Mainz.
Sementara itu, El Ghazi percaya dia telah melakukan keputusan tepat bersuara secara lantang selain tidak takut kariernya terjejas kerana apa yang dilalui oleh rakyat Palestin cukup perit untuk diterima.
“Saya tidak kesal dan akan sentiasa menegakkan keadilan. Hukuman seperti kehilangan karier cukup kecil buat saya jika dibandingkan dengan konflik di Palestin,” katanya. – AGENSI