BINTULU – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak dijangka dapat diketahui kira-kira pukul 9 malam nanti.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata ia memandangkan lokasi paling jauh di kawasan Jepak memakan masa perjalanan kira-kira satu jam sahaja.
“Doakan supaya cuaca elok dan tidak ada gangguan dari segi kiraan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Bintulu di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kiraan undi akan dibuat di setiap saluran mengundi dan penjumlahan sepenuhnya akan dibuat di Dewan Suara Bintulu untuk pengumuman keputusan.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata prestasi keluar mengundi setakat pukul 12 tengah hari ini agak rendah, dengan hanya mencapai 33 peratus.
Justeru, beliau menyeru agar semua pengundi keluar mengundi agar peratusan keluar mengundi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 65 peratus.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata daripada 14 Pusat Mengundi yang dibuka, tiga dijangka tutup awal kira-kira pukul 4 petang manakala yang lain ditutup pada pukul 5.30 petang.
Seramai 22, 731 orang pengundi berdaftar bagi PRK DUN Jepak, dengan sebanyak 14 Pusat Mengundi dan 45 Saluran dibuka untuk tujuan pengundian.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip sekali gus menyaksikan tiga calon bertanding iaitu Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Anak Sarawak (Aspirasi) dan Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK). – KOSMO! ONLINE