MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya, kepulangan Mason Greenwood dan Paul Pogba akan kembali menguatkan jentera serangannya menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Istanbul Basaksehir di Stadium Old Trafford awal pagi esok.
Ketiadaan dua pemain itu menyaksikan United gagal mempamer prestasi memberangsangkan apabila sekadar menang 1-0 ke atas West Bromwich Albion menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.
Solskjaer, 47, menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuan bintang muda England itu untuk menjaringkan gol ke atas Basaksehir yang sebelum ini mencipta kejutan menewaskan The Red Devils 2-1 di Istanbul pada 5 November lalu.
“Saya menantikan saat apabila Greenwood kembali cergas sepenuhnya kerana kami perlu memperbaiki beberapa perkara seperti memanfaatkan peluang terhidang dengan penyudah yang lebih klinikal.
“Saya berharap Greenwood dapat mempamerkan prestasi seperti yang ditunjukkannya pada hujung saingan musim lalu.
“Dalam masa sama, Pogba juga mungkin diturunkan jika dia sempat sembuh selepas mengalami kecederaan buku lali bersama Perancis ketika menentang Sweden baru-baru ini,” kata Solskjaer.
Kemenangan ke atas Basaksehir akan membolehkan United mempertahankan kedudukan mereka sebagai pendahulu Kumpulan H daripada dirampas finalis musim lalu, Paris Saint-Germain dan jaguh Jerman, RB Leipzig yang akan bertemu sesama sendiri awal pagi esok.
– AGENSI