SEPANG – Kumpulan pertama bantuan Malaysia untuk Gaza akhirnya dihantar menerusi satu penerbangan khas lewat malam ini setelah tertangguh hampir seminggu.
Ia melibatkan pelbagai barangan berjumlah 20 tan daripada keseluruhan 50 tan yang berjaya dikumpul 44 buah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan menerusi Ops Ihsan.
Kesemua barangan tersebut diangkut sebuah pesawat Boeing 737-81Q milik syarikat kargo udara tempatan, World Cargo Airline Sdn. Bhd yang diterbangkan terus ke Al-Arish, Mesir sebelum di bawa ke wilayah Gaza.
Acara pelepasan berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Secara keseluruhan, kesemua barangan untuk misi bantuan itu bernilai hampir RM7 juta dan Ops Ihsan yang dilancarkan bulan lalu turut disokong oleh pihak Kementerian Luar.
Penghantaran kali kedua dijadualkan pada minggu depan dan sumbangan itu akan diserahkan kepada pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama yang menyelia penghantaran melalui sempadan Rafah. – KOSMO! ONLINE