LONDON – Arsenal terus berdepan krisis ketumpulan jentera serangan apabila hanya mampu menjaringkan sembilan gol dalam sembilan aksi mereka.
Rekod tersebut menyaksikan ia merupakan jumlah gol paling kurang dijaringkan oleh The Gunners dalam tempoh lebih 30 tahun sejak musim 1986/87.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu sekali lagi mempamerkan aksi mengecewakan apabila sekadar terikat tanpa jaringan menentang Leeds United di Elland Road awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Arsenal terpaksa mengambil masa selama setengah jam untuk melakukan percubaan tepat ke arah gawang Leeds berbanding lawan mereka yang melakukan 25 percubaan.
Ketumpulan jentera serangan Arsenal itu ditambah oleh faktor kehilangan Nicolas Pepe yang dilayangkan kad merah pada awal babak kedua perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal gagal meledak gol buat kali keempat dalam lima aksi Liga Perdana Inggeris selepas kali terakhir Pierre-Emerick Aubameyang menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Manchester United.
Namun, Aubameyang ketika ini hanya mampu meledak satu sahaja gol.
Aubameyang mengakui kurang selesa dengan peranan baharu beraksi di bahagian tengah berbanding musim lalu banyak mendapat peluang menjaringkan gol melalui sayap kiri. – AGENSI