BEIJING – Sepasang pengantin yang mengadakan majlis perkahwinan di sebuah hotel di Wuhan, China dikecam kerana menghidangkan makanan dalam bungkusan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Saudara-mara dan rakan-rakan pengantin terkejut apabila setiap tetamu hanya menerima satu kotak makanan tengah hari berharga 50 yuan (RM32).
Rakaman kejadian memaparkan tetamu majlis tersebut mengeluarkan sekotak makanan daripada plastik berwarna merah di atas meja makan.
Kotak makanan itu diisi dengan nasi putih, telur goreng serta tiga hidangan daging dan sayur.
Ramai tetamu kelihatan keliru ketika menghadiri majlis itu dan mereka menggelengkan kepala tanda tidak percaya.
Bagaimanapun, beberapa netizen menegaskan bahawa majlis resepsi mungkin diadakan pada sebelah malam.
Makanan yang dimakan berkemungkinan makan tengah hari untuk saudara-mara dan rakan-rakan yang membantu membuat persiapan perkahwinan. – Agensi