SETIU – Penantian kira-kira 5,000 penduduk untuk melihat jalan rosak di Kampung Jaya di sini dibaiki masih belum berhasil apabila projek baik pulih yang dilakukan sejak lebih dua tahun lalu itu terus tertangguh.
Kerja-kerja pembaikan laluan sejauh hampir tiga kilometer itu telah bermula pada Mei 2021, namun beberapa kali tertangguh tanpa diketahui puncanya.
Seorang penduduk, Mohd. Rafi Ya, 58, berkata, laluan asal tersebut pada asalnya mengalami kerosakan dan mendapan.
“Begitupun, kerja-kerja pembaikan tidak siap-siap dan pihak kontraktor sekadar menimbus tanah merah di laluan yang terjejas sebelum projek yang sepatutnya selesai dalam tempoh dua tahun tersebut tiba-tiba terhenti pada bulan Ogos lalu.
“Cuaca yang tidak menentu menyebabkan mendapan yang berlaku semakin serius sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Lembah Jaya di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Wang Kiat Wang, 68, pula mendakwa, mereka tiada pilihan selain terus melalui laluan tersebut setiap hari sebagai akses utama keluar masuk ke perkampungan tersebut.
“Sudah banyak kenderaan penduduk mengalami kerosakan akibat terpaksa melalui struktur jalan utama yang mendap dan berlubang-lubang,” katanya.
Bagi Mohd. Syukri Mohd. Nor, 50, pula, dia merayu kerja-kerja baik pulih jalan berkenaan diteruskan semula dan disiapkan sepenuhnya sebelum ketibaan musim tengkujuh tidak lama lagi.
“Kampung kami memang berisiko dilanda banjir pada musim tengkujuh. Risau operasi penyelamat ke pusat pemindahan sementara (PPS) kelak menjadi sukar sekiranya jalan utama ini terus dibiarkan rosak,” katanya.