BANDAR GAZA – Pegawai-pegawai Hamas menyatakan kelmarin bahawa Israel menyerang sebuah lagi kem pelarian dan membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, manakala berpuluh-puluh mangsa lain terperangkap di bawah runtuhan, lapor portal berita MailOnline.
Letupan besar memusnahkan kelompok kediaman di kem pelarian Bureji, tengah Gaza dan mencetuskan sebuah kawah besar.
Sejurus selepas berkongsi berita serangan itu, kementerian kesihatan Hamas turut berkata, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan berasingan Israel berhampiran sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di kem pelarian Jabalia.
Serangan ke atas kem Jabalia itu adalah yang ketiga dalam tempoh beberapa hari.
Ketika pengeboman ke atas Gaza diteruskan, tentera Israel berkata, pasukan daratnya memecahkan benteng pertahanan Hamas dengan askar dan briged kereta kebal menghampiri Bandar Gaza dari semua arah.
Seorang komander Zionis berkata, askar-askarnya kini di pintu masuk Bandar Gaza yang sebelum ini menjadi tempat tinggal kepada sekitar 1.1 juta penduduk Palestin, namun, ramai antara mereka melarikan diri ke selatan.
Tentera Udara Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa askar Zionis terlibat dalam pertempuran panjang dengan pejuang Palestin dan menyerang dari darat, laut serta udara.
“Pada penghujung pertempuran, berpuluh-puluh pengganas (pejuang Palestin) telah dibunuh,” kata kenyataan sama.
Menurut beberapa pegawai, serangan bertubi-tubi Israel ke atas orang awam yang terperangkap di Gaza telah memusnahkan kediaman-kediaman dan membunuh lebih 10,000 orang.
Di kem Bureji kelmarin, penduduk Palestin yang keletihan mencari anggota keluarga di celah runtuhan kediaman, manakala jeritan berkumandang di ruang udara ketika mereka menemui jasad tidak bernyawa ibu dan anak masing-masing.
‘Pembunuhan beramai-ramai’ jerit penduduk ketika menutup mayat orang tersayang menggunakan selimut.
Serangan itu berlaku selepas Israel mengebom kem pelarian terbesar di Gaza, Jabalia pada Selasa dan Rabu lepas yang menyaksikan sekurang-kurangnya 195 penduduk Palestin terbunuh. Seramai 120 lagi hilang dan sekurang-kurangnya 777 orang cedera.
Israel yang menuduh Hamas berlindung di belakang penduduk awam menyatakan, pihaknya membunuh dua pemimpin tentera Hamas dalam serangan ke atas Jabalia itu.
“Kami berperang di semua perbatasan dan menyerang Hamas di mana sahaja ‘ia’ ditemui.
“Kami akan memburu mereka malam dan siang, di bandar mereka atau di katil mereka,” kata menteri kabinet perang Israel, Benny Gantz.
Sementara itu, imej satelit utara Gaza mengesahkan bahawa tentera Israel mara jauh ke dalam wilayah Palestin itu.
Analisis siri imej itu menunjukkan bangunan-bangunan musnah dan rosak serta kawah besar akibat pengeboman dan bedilan artileri.
Di Tebing Barat pula, dua penduduk Palestin dibunuh semasa operasi tentera Israel di bandar Jenin, kata kementerian kesihatan Palestin dalam satu kenyataan awal semalam.
Seorang jurucakap tentera Israel memberitahu AFP dalam satu kenyataan bahawa tentera Israel melakukan aktiviti anti ‘pengganas’ di kawasan itu tanpa mengulas lanjut.
Kematian terbaharu di Tebing Barat itu berlaku selepas tentera Israel membunuh tiga warga Palestin kelmarin.
Dua penduduk Palestin ditembak mati semasa Rejim Zionis menyerbu El-Bireh dekat bandar Ramallah, manakala seorang lagi dibunuh di bandar Qalqilya, utara Tebing Barat, kata kementerian kesihatan Palestin.
Kira-kira 130 penduduk Palestin kini dibunuh sama ada oleh askar atau peneroka haram Yahudi sejak perang Hamas-Israel tercetus pada 7 Oktober lalu. – AGENSI/AFP