PUTRAJAYA – Jangan bawa karakter dan gaya pegawai atasan ketika turun menyantuni guru dan pendidikan di sekolah.
Itu antara nasihat dikongsi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Datuk Pkharuddin Ghazali pada sesi Bicara Inspirasi KPPM bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Pkharuddin berkata, setiap pegawai atasan KPM itu sebaliknya perlu menyelami karaktor seorang guru supaya golongan itu berasa dihormati dan disanjungi.
“Apabila turun ke bawah tertemu guru, bawa gaya seorang guru jangan bawa gaya duduk kerusi Ketua Setiausaha kementerian (KSU), ketua pengarah dan lain-lain,” katanya.
Katanya, beliau khuatir karakter dan gaya yang di bawa pegawai atasan itu akan menyebabkan ada guru tersinggung dan berkecil hati.
Pkharuddin berkata, beliau juga mahu sifat dipamerkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah ketika bertemu rakyat jelata di dalam Kembara Kenali Borneo baru-baru ini dicontohi warga KPM.
Menurutnya, ketika siri jelajah rakyat itu, Tuanku tidak membawa protokol istana dan hanya membawa karakter diri baginda sendiri untuk menyelami cara hidup rakyat jelata.
Sementara itu, katanya, beliau juga akan bersara wajib pada 7 Oktober ini selepas 34 tahun dalam perkhidmatan dan memulakan kerjaya sebagai guru bermula Ogos 1989.
Katanya, beliau menasihatkan setiap guru muda supaya sentiasa bersabar dalam tugasan terutama ketika tempoh 10 tahun pertama perkhidmatan.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan selepas bersara, Pkharuddin berkata, beliau akan terus menyumbang kepada negara. – KOSMO! ONLINE