JOHOR BAHRU – Cadangan menghidupkan semula program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga melibatkan individu berumur 18 hingga 35 tahun disifatkan sebagai kurang bijak.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) disarankan menumpukan kepada belia berusia bermula 18 hingga 21 tahun seperti dipraktikkan di negara jiran termasuk Thailand dan Singapura.
Katanya, cadang pelaksanaan program PLKN 3.0 membabitkan individu berumur 35 tahun dilihat tidak praktikal malah dibimbangi membawa kesan negatif.
“Kita bukan membantah pelaksanaan semula PLKN malah amat menyokong ia dikembalikan semula namun biarlah pelaksanaannya lebih baik, teratur, logik dan memenuhi keperluan dalam erti kata khidmat negara.
“Program PLKN sebelum ini pun sudah ada acuannya, cuma perlu ditambah baik dan diperkemaskan lagi modul atau pendekatannya.
“Belia lepasan sekolah adalah kumpulan paling ideal untuk diterapkan dengan modul-modul PLKN ini kerana faktor umur, kecergasan dan masih kurang komitmen atau tanggungjawab,” katanya kepada pemberita hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan usia 16 hingga 35 tahun.
Mindef dalam satu kenyataan hari ini berkata, hanya remaja yang lahir pada 2007, akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, adalah tidak munasabah belia berusia 25 sehingga 35 yang sudah terikat pelbagai komitmen dikerahkan meninggalkan segala tanggungjawab yang mereka perlu pikul.
Tambahnya, golongan bagi usia itu kebiasaannya mempunyai pelbagai komitmen dan tanggungjawab yang mereka tanggung termasuk pengajian tinggi, pekerjaan selain keluarga yang perlu disara. – KOSMO! ONLINE