fbpx

UniMAP serah autonomi urus pilihan raya kampus kepada mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZALIMAN (tengah) menyaksikan penyerahan watikah pelantikan JPPM di Kampus UniMAP Pauh Putra di sini semalam.

ARAU – Pengurusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kuasa autonomi kepada golongan mahasiswa untuk menguruskan sepenuhnya piihan raya kampus.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP juga menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa (JPPM) yang bertujuan menggali minat, bakat dan mempersiapkan mahasiswa UniMAP menjadi pemimpin masa hadapan.

“Dalam konteks global yang semakin kompetitif, kemampuan untuk memilih dan memimpin adalah hal yang sangat bernilai, justeru dengan memberikan peluang sebegini kepada setiap mahasiswa, UniMAP berharap dapat menghasilkan graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia nyata.

“JPPM merupakan satu revolusi baharu pendidikan tinggi dalam memastikan demokrasi pelajar berjalan dengan lancar dan sejajar dengan kehendak Kementerian Pendidikan Tinggi yang menekankan agar pilihan raya kampus diurus sendiri oleh pelajar-pelajar sekaligus mendokong agenda pemerkasaan mahasiswa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah JPPM di sini hari ini.

Bersempena majlis tersebut juga, UniMAP turut melancarkan Program Pemerkasaan Mahasiswa Madani: Felo Kepimpinan UniMAP atau lebih dikenali sebagai UniMAP Fellows.

Menurut Zaliman, UniMAP Fellows bukan sekadar program biasa sebaliknya para peserta akan ditempatkan di bawah seliaan Pengurusan Tertinggi Universiti, Dekan Fakulti, dan Ketua-ketua Jabatan untuk tempoh setahun.

“Mereka akan melalui proses pengurusan yang bersesuaian untuk melatih kemahiran kepimpinan, membuat keputusan yang bijak, dan meningkatkan nilai insaniah mereka.

“Usaha ini mencerminkan komitmen UniMAP dalam memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil peranan aktif dalam pengurusan kampus dan pada masa yang sama memperkukuhkan kepimpinan mereka,” ujarnya.

Tambah Zaliman, penglibatan pelajar dalam proses pilihan raya kampus dan UniMAP Fellows tidak hanya merangkumi aspek demokratik semata-mata tetapi juga memberikan kesempatan kepada mereka berkembang sebagai pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dan berdaya saing tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI