IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan mengurniakan hidangan makanan tengah hari kepada 7,100 banduan dan tahanan di negeri ini.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, kurniaan yang dibiayai oleh Sultan Nazrin itu bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang disambut secara rasmi hari ini.
Katanya, program yang dikelolakan oleh Jabatan Penjara Perak itu melibatkan banduan dan tahanan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah.
“Atas sifat prihatin dan ehsan terhadap kebajikan banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Perak, baginda berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari pada Jumaat (hari ini).
“Kurniaan ini melibatkan seramai 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Mohd. Zahidi, beliau akan mewakili Sultan Nazrin di Penjara Taiping manakala Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama) akan mewakili baginda di Pusat Koreksional Kamunting.
“Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) pula mewakili baginda di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah manakala Toh Paduka Indera (Orang Besar Jajahan Batang Padang) pula di Penjara Tapah,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-67 itu dimulakan dengan majlis bacaan surah yassin dan doa selamat yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu Solat Jumaat hari ini.
Beliau berkata, majlis sama turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai oleh orang besar jajahan dan pegawai daerah.
“Berpandukan ketetapan Dewan Negara Perak, sambutan rasmi bagi Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Nazrin telah ditetapkan pada Jumaat pertama bulan November.
“Pada tahun ini, sambutan rasmi bagi ulang tahun tersebut jatuh pada 3 November (hari ini),” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE