PENGURUS pasukan Sabah, Jelius Ating sudah merangka apa yang perlu dilakukan oleh skuad Tembadau selepas membuat ‘post-mortem’ apa yang mereka lalui sepanjang aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Kata Jelius, ada kemerosotan prestasi dalam kalangan majoriti pemain selain prestasi bintang import yang kurang memuaskan dan tidak banyak membantu kepada kekuatan pasukan.
“Saya mahu pemain kembali perbaiki fokus dan sikap untuk masa akan datang kerana sepanjang pemerhatian musim ini, saya dapati ada penurunan dalam permainan mereka.
“Tiada guna jika pemain itu ada teknik dan bakat yang baik, namun mentaliti di atas padang seperti tidak ada fokus, pasukan ini boleh pergi jauh jika aspek sebegini mampu diperbaiki.
“Mengenai pemain import, kita akan cuba mencari yang lebih baik kerana berdasarkan pemerhatian, pemain import yang berkualiti akan membantu kepada kejayaan pasukan memandangkan tahap pemain tempatan antara semua pasukan tidak banyak jauh berbeza.
“Harapan saya pada musim depan adalah mahu melihat Sabah mampu berikan saingan serta cuba berada dalam kalangan lima pasukan teratas Liga Super,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, Jelius tidak dapat meneruskan peranannya selaku ketua jurulatih pada musim 2020 kerana tidak mempunyai lesen Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan tugas itu dipikul oleh pengendali import, Kurniawan Dwi Yulianto.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato Verdon Bahanda minggu lepas memberi bayangan skuad Sabah akan dikendalikan oleh ketua jurulatih baharu bagi menggantikan posisi Kurniawan yang tidak disambung kontraknya. K! ONLINE