LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji prestasi ampuh yang dipamerkan oleh pasukan untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selepas menewaskan Bournemouth 2-1 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Vitality itu, skuad The Reds berjaya meraih gol menerusi ledakan Cody Gakpo dan Darwin Nunez, manakala pasukan tuan rumah berjaya mendapatkan gol tunggal hasil jaringan Justin Kluivert.
Kata Klopp, apa yang dipamerkan oleh pasukan kali ini adalah sisi berbeza kerana terpaksa bermain dalam keadaan cuaca buruk sehingga menjejaskan hasrat untuk tampil dengan permainan lebih menarik.
“Saya sangat gembira melihat pasukan bekerja keras dalam usaha melakar kemenangan yang akhirnya kita berjaya lakukan meskipun hanya keputusan 2-1. Apa yang penting adalah mara ke pusingan seterusnya kerana bukan mudah untuk beraksi dalam keadaan cuaca seperti ini.
“Namun, saya agak ralat kerana kita sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol terutama pada babak pertama tetapi pujian wajar diberikan kepada pasukan lawan kerana berjaya beri tentangan sengit,” katanya.
Sementara itu, pengendali import dari Jerman itu turut memuji ketenangan ditampilkan oleh pertahanan muda, Jarell Quansah dalam mengemudi benteng pasukan sepanjang 90 minit.
“Saya agak tidak percaya melihat prestasi Quansah yang sangat bagus ketika mengawal bola dan meskipun dia menerima banyak hantaran daripada penjaga gol, Caoimhin Kelleher tetapi masih mampu kekal tenang walau diberi tekanan oleh pasukan lawan,” katanya. – AGENSI