KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong gagal meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir pada kejohanan badminton Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman selepas tersingkir di pusingan kedua sebentar tadi.
Apa yang mengejutkan, bekas pemenang pingat perak Sukan Komanwel itu tewas kepada pemain kurang ternama dari Republik Czech, Jan Louda menerusi aksi straight set 10-21, 7-21 dalam tempoh 29 minit.
Tze Yong dilihat seperti tidak dapat menampilkan corak permainan sebenar apabila bermain kurang agresif selain melakukan banyak kesilapan mudah sehingga memberikan mata kepada pemain lawan.
Keputusan itu menyaksikan Tze Yong mengalami kekalahan kedua dalam dua perlawanan kepada pemain No.49 dunia tersebut selepas pertemuan sulung pada Terbuka Czech 2021 turut memihak kepada Louda.
Bagaimanapun, faktor kepenatan mungkin menjadi antara punca kekalahan pemain kelahiran Johor itu memandangkan Terbuka Hylo merupakan kejohanan kelimanya berturut-turut sejak beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022 bulan lalu.
Selepas menamatkan saingan di Terbuka Hylo, pemain No.15 dunia itu memiliki masa lebih kurang lima hari untuk melakukan persiapan menjelang kejohanan Korea Masters di Gwangju, Korea Selatan bermula 7 hingga 12 November ini. – KOSMO! ONLINE