BINTULU- Ayah kanak-kanak yang mengalami Sindrom Werewolf menyebabkan mukanya ditumbuhi bulu yang lebat, Missclyen Roland tidak akan lagi mengambil risiko memotong atau mencukur bulu pada muka dan badan anaknya itu.
Roland Jimbai, 47, berkata ia kerana anak istimewanya itu yang kini berusia dua tahun akan sakit jika bulunya dibuang.
“Pernah satu kali ibunya cuba memotong bulu pada muka membuatkan dia demam seminggu selepas itu…ibunya juga pitam dan hampir pengsan ketika memotong bulunya itu” katanya ketika ditemu-bual di rumahnya di Kampung Penan Muslim Batu 10 Jalan Bintulu-Miri, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini, tiada kaedah perubatan yang boleh dijalankan untuk rawatan Sindrom Werewolf ke atas Missclyen walaupun sejak anaknya itu dilahirkan, ramai pakar perubatan dari seluruh dunia cuba membuat kajian ke atas bulu Missclyen untuk tujuan rawatan.
Mengenai pengambilan Missclyen sebagai anak angkat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, beliau berkata amat terkejut dan terharu.
“Ini semua di luar jangkaan…saya mohon semua rakyat untuk bersama-sama berterima kasih kepada Agong dan Permaisuri kerana sudi mengambil anak ini sebagai anak angkat dengan membiayai semua kos perubatan dan persekolahannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE