PORTUGAL – Penantian 13 tahun Ducati untuk kembali meraih gelaran kategori pengeluar akhir tercapai selepas dinobatkan sebagai pemenang dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelmarin.
Semangat juang tinggi pasukan Desmosedici Ducati bersama lima pelumbanya membuahkan hasil selepas meraih dua kemenangan dan lima podium untuk memastikan mereka meraih gelaran juara dunia kategori pengeluar.
Kejayaan itu hadir selepas usaha keras pelumbanya menerusi dua kemenangan yang diraih Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci serta podium yang diperoleh Jack Miller, Francesco Bagnaia, dan Johann Zarco.
Kecemerlangan pelumba Pramac Raing, Jack Miller menamatkan saingan di kedudukan kedua di Grand Prix (GP) Portugal kelmarin membolehkan Ducati meraih gelaran juara dunia kategori pengeluar 2020.
Sumbangan 20 mata dari Miller memastikan pelumba pasukan Itali itu menjadi pelumba terbaik dengan 221 mata selepas mencatat perbezaan 17 mata dengan Yamaha. Suzuki terpaksa berpuas hati tempat ketiga keseluruhan dengan 202 mata.
“Menjuarai gelaran kategori pengeluar sudah pasti merupakan perkara penting bagi Ducati selepas menampilkan beberapa perkembangan jentera menerusi inovasi teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutama pada jentera GP Desmosedici.
“Sudah pasti ia merupakan musim yang sukar, terutamanya selepas pengenalan tayar belakang baharu dan berdepan kesukaran untuk melakukan ujian sepanjang tahun ini.
“Walaupun begitu, GP Desmosedici menjadi jentera yang kompetitif di hampir setiap litar perlumbaan. Oleh itu, kami berpuas hati dengan hasilnya diperoleh pada tahun 2020 ini dan meraih gelaran kategori pengeluar yang kedua.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kru perlumbaan dan para pelumba,” kata Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna. – AGENSI