PETALING JAYA – Penugasan kumpulan pertama Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) ke Lebanon membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) disifatkan lebih mencabar ekoran konflik Israel – Palestin yang tercetus sejak 7 Oktober 2023 lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana situasi berkenaan secara tidak langsung turut memberi kesan kepada keselamatan di selatan Lebanon.
Beliau berkata, ia juga akan menjejaskan pengoperasian kontinjen Malbatt 850-10 serta Malbatt 850-11 sekiranya berpanjangan.
“Sehingga kini, konflik ini dilihat semakin tegang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda akibat serangan roket, artileri, mortar dan pesawat udara.
“Ini akan menyukarkan pihak UNIFIL dan Malbatt menjalankan tugas,” katanya ketika berucap di Majlis Pemakaian Beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan pertama Malbatt 850-11, di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Kontinjen 850-11 diaturgerakkan ke Lebanon bagi menggantikan pasukan Malbatt 850-10 yang hampir tamat bertugas di sana selama setahun.
Dalam pada itu Mohamad berkata, semua anggota perlu sentiasa berwaspada dan bersiap sedia ketika menggantikan Malbatt 850-10, selain mengekalkan sikap berkecuali.
“Nasihat saya supaya berhati-hati kerana walaupun sempadan jauh dalam 20 kilometer, namun apa pun boleh berlaku.
“Kekalkan sifat berkecuali dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh UNIFIL.
“Saya percaya saudara-saudari sekalian dapat memikul tanggungjawab, tugasan dan amanah ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE