fbpx

Daftar TASKA haram sebelum akhir Disember ini untuk elak tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIndakan sitaan dibuat di bawah Seksyen 6(1) AktaTaman Asuhan Kanak-Kanak 1984 kerana mengendalikan TASKA tanpa kebenaran.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebaji­kan Masyarakat (JKM) memandang serius isu melibatkan kanak-kanak terutama yang ditempatkan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negara.

Pelbagai tindakan proaktif telah dilaksanakan dalam usaha melin­dungi golongan tersebut daripada kes-kes seperti kecuaian, peng­abaian dan penderaan.

Sehubungan itu, JKM mengenal pasti sebanyak 1,080 TASKA di seluruh negara yang tidak berdaftar (haram) dan langkah advokasi te­lah dilaksanakan supaya pihak yang terlibat segera membuat pendaf­taran sebelum tarikh akhirnya pada bulan Disember ini.

Berdasarkan rekod terkini di JKM, angka tertinggi TASKA ha­ram direkodkan di Selangor adalah 407 premis diikuti Sarawak (95), Johor (82), Pahang (71), Pulau Pinang (66) dan Kuala Lumpur (60).

Di Kedah pula, negeri itu merekodkan bilangan 60 premis tidak berdaftar diikuti Putrajaya (54), Kelantan (48), Negeri Sembilan (42), Melaka (33), Terengganu (30), Sabah (19), Perak (10), Labuan (2) dan Perlis (1).

Norazman Othman
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat

“Sehubungan itu, inisiatif pe­metaan dilaksanakan termasuk klasifikasi untuk menilai TASKA yang tidak berdaftar supaya tindakan untuk pendaftaran dapat dilaksanakan oleh pihak JKM.

“Tindakan pemutihan ini dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308],” kata Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Norazman Othman dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Selain itu, KPWKM melalui JKM turut melaksanakan beberapa tindakan lain antaranya Arahan Bertulis (76), Perintah Penutupan Sementara (4), pembatalan perakuan pendaftaran (213), tindakan LAK (7), kompaun (17) dan pendakwaan (2) yang direkodkan sepanjang 2020 hingga Jun lalu.

“Sebanyak 18 aduan telah di­terima JKM berkaitan penderaan melibatkan kanak-kanak di TASKApada tempoh sama,” katanya.

Justeru, bagi memastikan TASKA berdaftar sentiasa mematuhi akta dan peraturan ditetapkan, KPWKM melalui JKM melaksanakan pelbagai usaha antaranya pemantauan, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan mengejut oleh pegawai yang diberi kuasa ke premis sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Pengusaha TASKA yang tidak berdaftar boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – gambar hiasan

Usaha lain termasuk memperkasakan tindakan penguatkuasaan ke atas TASKA yang melanggar akta dan peraturan yang ditetapkan selain penganjuran program keseda­ran agar masyarakat menjadi ‘mata dan telinga’ JKM bagi melaporkan kejadian yang berlaku.

Bagi TASKA yang tidak berdaftar, tindakan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] yang menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh mengendalikan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan.

Mereka yang didapati me­langgar peraturan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan bagi ke­salahan kali kedua.

Berdasarkan kepada seksyen itu, Kementerian melalui JKM me­laksanakan pemeriksaan mengejut ke atas TASKA bagi memastikan pengusaha mematuhi peruntukan tersebut.

“Pihak KPWKM melalui JKM mengeluarkan Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan LAK dan Perintah Penutupan Ke Atas Taman Asuhan Kanak-Kanak serta Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis berkuat kuasa pada 10 April 2023.

“Langkah ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes-kes melibatkan TASKA dan Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes dera, abai atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak,” tegasnya.

Jelas beliau, ini merupakan satu usaha bagi memastikan tindakan yang diambil lebih efektif dalam melindungi kumpulan sasar.

Kementerian turut menyarankan kepada ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak dihantar ke taska berdaftar di bawah JKM. Senarai TASKA berdaftar boleh diperoleh melalui semakan portal di laman web www.jkm.gov.my.

Tambah Norazman, aduan berkaitan TASKA tidak berdaftar boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau boleh merujuk terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI