PETALING JAYA – Peniaga ayam segar di pasar basah awam masih mengekalkan harga ayam segar di bawah harga siling RM9.40 sekilogram (kg) yang ditetapkan sebelum ini biarpun bahan mentah itu telah ditamatkan subsidi dan harga apungan mula dilaksanakan kelmarin.
Di Pontian, Johor, tinjauan di pasar awam mendapati, ada peniaga menjual ayam pada harga RM8 sekilogram walaupun sebelum ini berada pada paras RM8.50 hingga RM8.90 sekilogram.
Seorang pekerja di gerai ayam di pasar itu, Burhanudin Sayadi, 50, berkata, harga RM8 sekilogram adalah sebagaimana arahan yang dikeluarkan pemiliknya dan dia hanya menjual sebagaimana biasa.
Katanya, biarpun ketika ini banyak persaingan dengan kedai-kedai yang menjual ayam berhampiran kawasan pasar awam ini, kami dapat menjual 100 hingga 150 ekor sehari bergantung kepada permintaan,” katanya.
Tinjauan di pasar tani yang diadakan Khamis mendapati, harga ayam yang dijual adalah RM8 sekilogram.
Sementara itu di Sungai Buloh, Selangor kebanyakan peniaga ayam di Pasar Awam Sungai Buloh menjual ayam pada harga antara RM9 hingga RM9.40.
Mereka masih menjualnya pada harga ditetapkan sebelum ini, biarpun timbul kerisauan tentang kenaikan harga yang mungkin berlaku pada masa depan.
Menurut pesara tentera yang lebih mesra disapa sebagai Abang Mi, sebarang perubahan dari segi harga tertakluk pada harga yang ditetapkan oleh para pembekal.
“Buat masa ini, saya masih boleh menikmati keuntungan sebanyak RM1 sekilogram. Bagaimanapun, untuk tampung kos-kos lain seperti kos pekerja dan kos plastik pembungkusan, saya terpaksa mengenakan caj sebanyak 40 sen sebagai upah pemotongan.
“Sehari saya boleh jual sekitar 30 hingga 40 ekor ayam. Jika hari cuti, boleh capai 80 ekor,” katanya.