SUNGAI PETANI – Seorang ibu tidak menyangka permintaan anaknya yang berusia 3 tahun untuk memakai semula baju kurta yang pernah dipakai ketika Aidilfitri lalu menjadi petanda kanak-kanak itu akan pergi buat selama-lamanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang kelmarin Muhammad Shafiq Amsyar Mohd. Sufian, 3, bersama sepupunya Muhammad Aidil Adha Mohd. Ali, 5, ditemukan lemas di dalam kolam ternakan udang tempat bapa mereka bekerja.
Lokasi kejadian itu terletak berdekatan rumah mereka di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda di sini.
Nur Khairina Natasha Sarino, 24, berkata, sehari sebelum kejadian, anak bongsu dari dua beradik itu ada meminta untuk memakai baju kurta berwarna biru yang dipakai ketika Aidilfitri lalu untuk keluar mandi kolam dengan sepupunya itu.
Katanya, arwah anaknya memang akan pilih sendiri baju yang hendak dipakai, tetapi dia tidak pernah minta untuk pakai kurta kerana selalunya akan pilih baju-T bercorak kartun sahaja.
“Arwah cakap dengan saya…mama adik nak pakai baju ni la… sambil tunjuk baju kurta tu, kemudian saya jawab tak akan adik nak mandi kolam pakai baju raya.
“Saya tak sangka itu permintaan terakhir anak saya. Disebabkan, dia hanya mahu keluar bermain, saya suruh dia pakai baju-T biasa sahaja pada hari itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Nur Khairina berkata, pada hari kejadian, anaknya keluar bermain bersama sepupunya di luar rumah selepas selesai makan kira-kira pukul 1 tengah hari.
Katanya, pada awalnya dia masih mendengar suara anaknya itu bermain dengan sepupunya di luar rumah sebelum tiba-tiba suasana menjadi sunyi.
“Saya mula rasa tidak sedap hati apabila sudah tidak dengar suara mereka, lantas segera keluar rumah dan mendapati kelibat kedua-dua mereka sudah tidak kelihatan.
“Selepas tanya suami, dia pun tak nampak kelibat anak kami. Dia terus tunggang motosikal pergi cari di kawasan sekitar tapi tetap tidak jumpa sehingga anak saya ditemui lemas dalam kolam udang,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun masih terkejut dengan bersedih dengan permergian anaknya itu, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
Dalam pada itu, jenazah kedua-dua kanak-kanak tersebut telah dibawa pulang ke surau Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda untuk disembahyangkan dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kota Raja selepas solat Zohor semalam.