SIAPA sangka penghijrahan wanita ini ke Montreal, Kanada kira-kira sembilan tahun lalu membuka lembaran baharu dan merubah hidupnya.
Nor Rafidah Khairuddin mengambil keputusan berhijrah ke negara Amerika Utara itu kerana tidak mahu lagi berjauhan dengan suaminya yang bekerja di sana.
Sewaktu di sana, wanita berusia 48 tahun itu cuba membantu suaminya menambah pendapatan keluarga, selain mengisi masa lapang dan ‘memecah kebosanan’ dengan melakukan pelbagai kerja.
Menurutnya, ia termasuklah menjadi pembantu dapur dan bekerja di hotel sebagai pekerja pembersihan, walaupun gaji pada ketika itu sekitar AS$10 (RM42) sehari.
Pada masa sama, Nor Rafidah memiliki minat mendalam membuat mufin pisang dan menjualnya di sana.
“Selepas melakukan macam-macam kerja di sana, saya tekad mencuba nasib menjual mufin pisang hasil resipi ciptaan sendiri di kafe sekitar Montreal.
“Gigih saya jalan kaki dari satu kafe ke satu kafe di Downtown Montreal untuk memberi ‘tester’ mufin pisang.
“Saya dipandang jelek, kena ‘reject’ dan tidak ada siapa ingin menerima kerana saya seorang Muslim dan bertudung,” ujarnya kepada Aura.
Bagaimanapun, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari peluang baharu tanpa mengalah sehingga berjaya.
“Jika dikenang semula semua kisah itu, saya ada kalanya menangis dalam kegembiraan.
“Tak sangka hasil duit jualan mufin itu, saya hargai diri dengan membeli beg tangan berjenama pertama di Montreal Premium Outlet.
“Dari situ, terlintas pula nak jadi ‘personal shopper’, ambil pesanan dan tempahan daripada rakyat Malaysia.
“Masa itu niat saya hendak beri peluang kepada mereka merasa pakai barangan mewah dan berjenama dengan harga mampu milik.
“Alhamdulillah, niat itu dipermudahkan Allah SWT sehingga saya tak sangka boleh memiliki perniagaan menjual beg tangan serta aksesori fesyen wanita dan lelaki.
“Antara barang yang dijual adalah daripada jenama seperti Coach, Michael Kors, Fossil dan Kate Spade,” katanya.
Bermula berjinak-jinak menggunakan medium Facebook Page – Branded Handbags by Rafidah untuk mengetengahkan perniagaannya pada 2015, Nor Rafidah kemudiannya berjaya membuka butik fizikal di Kuala Lumpur pada 2018 dengan jenama Sellection.
Tidak terhenti di situ, ia disusuli dengan mewujudkan domain laman sesawang, www.sellection.com.
Kini, Sellection.com – Branded Fashion Outlet menjadi platform beli-belah dalam talian pilihan utama dan dipercayai oleh ramai di Malaysia.
Menariknya, jenama itu turut menyediakan pelan pembayaran ansuran sebanyak tiga kali buat semua pelanggan.
Sementara itu, Nor Rafidah tidak terlepas daripada ujian dalam arena perniagaan yang diceburi.
Rentetan pandemik Covid-19 yang membadai dunia, butik fizikal terpaksa ditutup dan tidak boleh beroperasi.
“Mujur laman sesawang menjadi penyelamat waktu getir ketika itu kerana 80 peratus jualan diraih daripada situ.
“Pelanggan boleh membeli-belah secara dalam talian dengan mudah dan cepat pada bila-bila masa,” katanya.
Mengetengahkan cogan kata, ‘Embracing Confidence’ (meraikan keyakinan) telah berjaya merealisasikan impian ramai orang untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa serta kekal bergaya dan berkeyakinan.
“Kami sangat terbuka menerima semua pelanggan tanpa mengira status atau latar belakang.
“Saya percaya, menghargai dan menjaga pelanggan dengan baik adalah kekuatan perniagaan ini sejak ia ditubuhkan hampir sedekad lalu.
“Ini terbukti dengan lebih 3,200 testimoni positif di laman sesawang kami.
“Begitu juga lebih 360 testimoni positif di carian Google setakat ini.
“Kami bukan sekadar menjual barang, tapi kami ingin memberi nilai dengan membantu pelanggan memilih beg tangan diingini.
“Pada masa sama, kami memberikan tip penggayaan bersesuaian dengan personaliti mereka dan acara yang ingin dihadiri,” katanya lagi.