fbpx

Konflik Palestin-Israel: Doktor terkejut lihat anak sendiri diusung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik di aplikasi X memaparkan Dr. Ghada Abu Eida terkejut melihat anak perempuannya cedera parah diusung oleh petugas paramedik.

PETALING JAYA – Seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di Gaza tidak dapat menahan jeritan dan kesedihan apabila melihat anak perempuannya cedera parah akibat serangan kejam rejim Zionis.

Menerusi video yang diciap oleh Quds News Network di aplikasi X, Dr. Ghada Abu Eida ketika itu sedang bertugas di Bahagian Kecemasan, Hospital Indonesia Gaza, Palestin.

Dia kemudiannya terkejut melihat petugas paramedik berlari mengusung anaknya sebelum menjerit dan menangis sepanjang laluan hospital untuk mengetahui keadaan puterinya itu.

Dia lantas ditenangkan oleh para petugas hospital yang lain dan jatuh pengsan akibat terlalu terkejut.

Sehingga kini video tersebut mendapat 19,100 ulang ciap dan 23,000 tanda suka.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis serta bersimpati dengan nasib wanita itu, selain berasa sedih dan menyuarakan harapan agar beliau kekal tabah.

“Pilunya hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Deras air mata ni dengar laungan ibunya,” komen Emylia.

“Saban hari tugasnya merawat pesakit di hospital, tanpa mengira latar belakang pesakit. Tanpa menjangkakan hari ini beliau melihat anaknya sendiri di usung ke wad kecemasan,” komen seorang lagi pengguna.

“Darah pesakit lain masih melekat di tudung, ini pula tengok darah anak sendiri. Ya Allah kuatkan semangat mereka,” komen @cl_wazza.

“Tiada ibu yang sepatutnya mengalami penderitaan ini,” tulis @pnadira.

Pada 7 Oktober lalu, Hamas melakukan serangan mengejut terhadap Israel termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara pada hari sambutan perayaan Yahudi.

Hamas berkata, operasi itu sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan keganasan peneroka haram Yahudi yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Rejim Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI