fbpx

Kerajaan arah Op Ramah APM dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINURRAHIM menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada salah seorang anggota pada Majlis Himpunan Setia APM Negeri Melaka di Kompleks KDN Ayer Keroh, Melaka. - Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

MELAKA – Op Ramah Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang tamat pada September lalu akan diteruskan semula atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, langkah itu dibuat sebagai persiapan dalam menghadapi fenomena Monsun Timur Laut yang diramalkan berlaku pada bulan ini.

Ujarnya, operasi itu yang disertai oleh 10 agensi keselamatan turut disifatkan berjaya dalam menangani fenomena Monsun Barat Daya dan serta bencana di lokasi berisiko tinggi.

“Bila menteri melihat Op Ramah ada kebaikan kepada masyarakat dan rakyat, jadi APM diarahkan untuk meneruskannya kerana kita mendapat sejumlah peruntukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

“Sebelum ini banyak (anggota) gunakan kenderaan sendiri dan kali ini permohonan kita bagi mendapatkan aset telah diluluskan iaitu sebanyak 225 motosikal untuk diagih-agihkan ke seluruh negara.

“Menteri juga akan umumkan aset-aset baharu seperti kenderaan pacuan empat roda, ambulan dan van mengangkut anggota APM pada 15 November ini,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Himpunan Setia APM Negeri Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Aminurrahim berkata, Op Ramah akan dilancarkan semula pada 15 November ini termasuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 10 agensi dan jabatan kerajaan bagi mewujudkan kerjasama tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI