ABUJA, Nigeria – Kumpulan pelampau Boko Haram membunuh sekurang-kurangnya 37 penduduk kampung dalam dua serangan berasingan di timur laut Nigeria, kata beberapa penduduk semalam seperti dilaporkan laman berita Arab News.
Kumpulan itu menyasarkan penduduk kampung di daerah Geidam pada Isnin dan kelmarin dalam serangan pertama di negeri Yobe dalam tempoh lebih setahun.
Saksi-saksi berkata, kumpulan tersebut menembak mati 17 individu serta menggunakan periuk api untuk membunuh 20 lagi yang menghadiri majlis pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban itu.
Kumpulan pelampau Boko Haram melancarkan pemberontakan di timur laut Nigeria pada 2009 dalam usaha untuk menggunakan tafsiran radikal mereka terhadap undang-undang Islam.
Presiden Nigeria, Bola Tinubu yang memegang jawatan pada Mei lalu tidak berjaya menamatkan krisis keselamatan di timur laut, barat laut serta wilayah tengah negara itu, di mana berpuluh-puluh kumpulan bersenjata telah membunuh penduduk kampung dan menculik pelancong untuk mendapatkan wang tebusan. – AGENSI