fbpx

Mahkamah: Lelaki didakwa cederakan gadis di pusat jagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal ketika dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

AMPANG – Seorang pekerja penyelenggara elektrik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah pusat jagaan itu bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga warga Indonesia, Zainal Abidin, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, Zainal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Lembah Jaya Selatan di sini pukul 4 petang pada 22 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan terhadap bapa dua anak tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh dengan alasan dikhuatiri tertuduh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang tinggal di pusat jagaan itu.

“Mangsa tidak tinggal di rumah itu, tetapi pendakwaan bimbang tertuduh yang bekerja di pusat jagaan itu akan menganggu saksi pendakwaan yang lain. Sekiranya mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, syarat tambahan perlu dikenakan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Wan Nur Afifah Che Bakar memohon ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana anak guamnya hanya bekerja di pusat jagaan itu dan tidak tinggal di situ.

“Tertuduh menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak berusia sembilan bulan dan lima tahun. Tertuduh juga mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan berdaftar di bawah program rekalibrasi (tenaga kerja),” katanya.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Amalina membenarkan tertuduh diikat jami RM4,000 dengan dua penjamin tempatan dan berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, Zainal turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah selama lebih lima bulan dari tarikh tamat tempoh masuk ke Malaysia pada 1 Mei lalu.

Kesalahan itu dilakukan di tempat sama, pukul pukul 5.05 petang pada 26 Oktober lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta sama.

Majistret Normaizan Rahim membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi pertuduhan itu selain turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 2 haribulan.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 9 Januari 2024 bagi sebutan semula kedua-dua kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI