ALOR GAJAH – Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sabtu ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau bagaimanapun enggan meramalkan majoriti yang akan diperolehi parti itu susulan pertembungan tiga penjuru yang turut membabitkan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
“Peluang sangat cerah, tetapi saya tidak mahu buat andaian berapa peratus atau majoriti yang akan kita dapat.
“Kalau boleh kita nak menang besar baru bergaya sikit,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Tahun 2023 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di sini, hari ini.
PRK DUN Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon GPS, Iskandar Turkee dengan calon ASPIRASI, Chieng Lea Phing dan calon PBK, Stevensen Joseph Sumbang.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 4 November manakala 31 Oktober sebagai tarikh pengundian awal melibatkan seramai 22,804 pemilih.
Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak 2021, Talib mengekalkan kerusi Jepak dengan 6,277 undi, menewaskan Rabaah Tudin dari parti Parti Sarawak Bersatu (2,034 undi), Stevenson dari PBK (587 undi) dan calon bebas, Tuah Kazan (141 undi). – KOSMO! ONLINE