fbpx

Anak Felda tersenarai dalam ensiklopedia Britishpedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pencapaian yang cukup indah bagi Fezty Edayu apabila dirinya tersenarai dalam Britishpedia.

“BERNIAGALAH walaupun untung hanya seringgit dua kerana berniaga mengajar kita erti sabar dalam mencari rezeki Allah.”

Untaian kata-kata itu hingga detik ini dipegang erat wanita berusia 34 tahun ini sebagai motto dan prinsip hidupnya.

Menerusi kata-kata semangat itu jugalah, dia mampu merealisasikan impiannya bergelar seorang usahawan wanita berjaya ketika ini.

Berpeluang bertentang mata dan menemu bual wanita cekal ini di Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini, Fezty Edayu Kemel berkongsi pelbagai cerita mengenai kembara perjalanan perniagaan minyak wangi yang diusahakannya sejak tahun 2019 itu.

Biarpun bisnesnya boleh dikatakan masih ‘hijau’, Fezty Edayu sudah mencapai banyak kejayaan antaranya dianugerahkan Top Asia Excellent Brand 2021-2023.

Lebih membanggakan, anak jati Felda Serting Hilir, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan itu juga bahkan tersenarai dalam ensiklopedia Britishpedia Successful People in Malaysia 2022.

British Publishing House (BPH) Ltd. yang menerbitkan edisi keempat ensiklopedia biografi, Britishpedia menyenaraikan dirinya sebagai antara individu berjaya dalam pelbagai bidang di Malaysia pada 2022.

Ensiklopedia itu boleh didapati di perpustakaan di seluruh Malaysia dan beberapa negara di dunia seperti Singapura, Jerman, Slovakia, Austria, Republik Czech, Hungary dan Poland.

Mengimbas awal perjalanan perniagaannya, Fezty Edayu berkata, bermodalkan wang serendah RM900, segalanya mungkin agak tidak masuk akal bagi memulakan bisnes minyak wangi dengan bauan premium.

Tetapi siapa sangka, dengan jumlah modal serendah itu, secara berperingkat-peringkat, dia berjaya menambat hati pengguna terutama dalam kalangan penggemar mi­nyak wangi dengan harga mampu milik.

Meskipun terpaksa berniaga dari rumah dan menggunakan ruang yang terhad sebagai tapak premis awal, itu langsung tidak pernah dijadikan penghalang apatah lagi alasan melemahkan semangatnya.

“Paling tidak boleh dilupakan, berdepan cabaran dalam pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak syarikat terpaksa gulung tikar kerana menghadapi kesulitan dalam kewangan dan faktor lain,” tuturnya kepada Aura.

Fezty Edayu bersyukur label diusahakannya, L’amour Exclusive kekal kukuh semasa era pandemik malah mampu mencatat jualan memberangsangkan selain mendapat soko­ngan positif daripada pengedar.

Biografinya terpapar dalam naskhah Britishpedia.

Tambah Fezty Edayu, fasa demi fasa dilaluinya dan hingga kini mampu mengeluarkan barisan produk seperti minyak wangi badan, cecair pembasmi kuman tangan dan minyak wangi kereta.

Sebelum terjun dalam arena yang penuh mencabar ini, anak Felda itu berkongsi dia pernah membanting tulang bekerja sebagai juruteknik pelaburan selama tujuh tahun di sebuah kilang automotif jenama Jepun.

“Titik tolak yang membuatkan saya mula menjalankan perniagaan adalah bila mana saya lihat perniagaanlah yang boleh membuatkan saya keluar daripada masalah kewangan dan bantu ekonomi keluarga.

“Bermula daripada situlah saya mula fokus dan susun strategi serta ambil keputusan untuk berhenti kerja dan beri perhatian kepada perniagaan minyak wangi.

“Kalau ditanya kenapa minyak wangi, tiada jawapan lain selain saya sendiri penggemar dan pengumpul minyak wangi yang dibeli dengan harga mampu milik sejak bekerja lagi,” katanya.

Berkat bertahun-tahun berniaga tanpa kenal erti putus asa, Fezty Edayu tidak pernah terfikir apabila tersenarai dan dinobatkan sebagai Successful People In Malaysia Britishpedia edisi ke-4 pada Jun tahun lalu.

“Sumpah, jujur saya tak pernah terfikir untuk sampai ke tahap ini. Manakan tidak, saya hanya anak Felda biasa dan datang daripada keluarga yang sederhana sahaja.

“Buku ini (Britishpedia) menyenaraikan wajah-wajah individu berjaya disertakan dengan biodata, kerjaya dan pencapaian hidup.

“Ia seperti biografi pendek mengenai seseorang dan bukan mudah tercalon apatah lagi dipilih untuk disenaraikan.

“Tun Dr. Mahathir pernah keluar pada edisi pertama, manakala saya edisi keempat.

“Semua orang dalam itu bukan calang-calang. Pengiktirafan ini bukan berbayar, ia dipilih oleh panel-panel. Mereka pilih sendiri berdasarkan latar belakang dan pencapaian individu yang mereka kaji sendiri. Mereka tahu bahawa saya raih anugerah Top Asia Excellent dan tahu saya banyak memberi sumbangan kepada program masyarakat, sekolah dan universiti. Mungkin kita rasa apa yang kita lakukan biasa saja, tetapi bagi mereka mungkin luar biasa.

“Bagi saya, ini satu anugerah terindah selepas saya berhempas pulas tanpa putus asa beberapa tahun sebelum ini.

“Ini membuatkan saya mahu terus mara ke hadapan tanpa menoleh ke belakang, selain menjadi suntikan semangat untuk saya terus berjaya dalam perniagaan,” ungkapnya.

FEZTY EDAYU seorang usahawan minyak wangi.

Akuinya lagi, dia menganggap pengiktirafan tersebut sebagai pembakar semangat dalam menyebarkan aura positif selain memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakar kejayaan tersendiri.

Menyentuh asam garam bisnes, sama seperti usahawan lain, Fezty Edayu tidak terlepas daripada ujian ketika perniagaannya berkembang maju.

Ia termasuk dituduh menghasilkan produk yang boleh mendatangkan impak negatif pada aspek kesihatan pelanggan oleh individu yang dike­nalinya sebelum ini, sedikit seba­nyak menggugat sema­ngatnya yang sedang membara untuk terus berniaga.

“Tidak di­nafikan, ujian itu beri kesan kepada saya. Ini membuatkan saya hampir putus asa apabila difitnah sauda­ra terdekat hingga membuatkan pembeli tidak percaya dan tidak yakin terhadap produk yang dijual.

“Tidak setakat itu, pelbagai cabaran lain turut pernah saya lalui apabila pernah ditipu oleh pengilang dengan kerugian puluhan ribu ringgit dan pernah dikompaun RM10,000 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.

Akui Fezty Edayu lagi, segala ujian yang mendatang langsung tidak pernah sedikit pun melemahkan semangatnya, malah terus menjadi pembakar dan inspirasi untuknya terus berjaya.

Mengulas sedikit mengenai pelan peranca­ngan masa hadapan, Fezty Edayu memberitahu, syarikat kini membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai golongan suri rumah dan wanita sebagai pengedar produk.

“Buat masa sekarang, kami telah miliki lebih 1,800 pengedar berdaftar dan aktif di seluruh negara termasuk di Si­ngapura.

“Melihat sambutan luar biasa itu, kami sasarkan untuk menambah bilangan tersebut kepada sekali ganda lagi iaitu menjadi 3,000 pengedar menje­lang penghujung tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI