PETALING JAYA – Ramai pengguna meluahkan rasa tidak puas hati apabila mengetahui belia berusia sehingga 35 tahun perlu menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang sebelum ini dimansuhkan pada 2018.
Ia susulan ciapan oleh seorang pengguna dikenali sebagai @connerylazenby di aplikasi X yang memuat naik tangkap layar artikel sebuah media tempatan mengenai pengumuman itu.
Di dalam artikel berkenaan, media tempatan tersebut melaporkan bahawa PLKN baharu akan disasarkan kepada golongan belia antara 16 hingga 35 tahun kecuali pelajar yang berada di tingkatan lima.
Rentetan itu, ramai pengguna media sosial sejak semalam meluahkan rasa tidak puas hati kerana peluang untuk dipilih menyertai program berkenaan tinggi walaupun sudah berusia 25 tahun ke atas.
“Kena ambil ‘unpaid leave’ (cuti tanpa gaji) atau kerajaan tanggung gaji? Kenapa sampai umur 35 kenapa tak sampai umur 30 tahun je? Umur 30 tahun ke atas itu dah fokus pada karier, keluarga, stabilkan kewangan dan lain-lain,” komen Ein.
“Macam melampau pula sampai usia 35 tahun. Boleh mula dengan budak baru lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu tak? Kalau kena pergi, keluarga yang tinggal kat rumah macam mana pula? Jangan buat polisi melulu, cuba dulu baru fikir,” komen Aina.
“Lebih baik fokus kepada ekonomi negara dulu daripada nak mula benda-benda pelik macam ini. Ingat orang yang umur 30-an tu tengah bersenang-lenang ke duduk kat rumah,” komen Nili.
Walau bagaimanapun ada juga beberapa pengguna yang teruja kerana sudah menanti lama untuk menyertai PLKN, namun tidak berkesempatan.
“Nak pergi dah lama dah. Tapi bila dah besar-besar kena pergi, rasa semangat tu dah lain sikit,” komen Rosyidah.
“Dia kata belia dari usia 16 tahun ke 35 tahun. Wah saya masih belia! Tak sabar nak sertai PLKN,” ciap seorang pengguna.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Menurutnya, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan SPM pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.
Beliau berkata demikian dalam sesi jawapan bertulis kepada Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada Dewan Rakyat kelmarin. – KOSMO! ONLINE