PETALING JAYA – Seorang guru wanita yang mengalami kemurungan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah sekolah rendah di Putrajaya, semalam.
Perkara tersebut disedari suaminya, Mohd Khairul Sabli, 43, apabila mesej di WhatsApp tidak dibaca sebelum dirinya bergegas ke sekolah untuk mencari isterinya, Hanisah Kusnan, 38, kira-kira pukul 4 petang, semalam.
“Isteri saya mula menunjukkan simptom anxiety (kegelisahan) atau depression (kemurungan) sudah lama, hari Khamis dan Jumaat lalu dah nampak agak membimbangkan sebab dia kurang bercakap dan saya ambil keputusan untuk bawa berjumpa pakar psikiatri di Hospital Ampang, pagi semalam.
“Selepas itu dalam pukul 11.30 pagi, saya hantar semula isteri ke sekolah macam biasa dia salam tangan saya tapi diam, dalam pukul 4 petang saya WhatsApp tanya hendak masak apa tetapi hanya tanda satu ‘tick’ (tanda WhatsApp tidak dibaca),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Berikutan situasi itu, Mohd Khairul berkata, dia berusaha mencari isterinya di sekolah tempat isterinya mengajar namun berakhir dengan kegagalan apabila dimaklum isterinya telah mengambil cuti kecemasan pada hari tersebut tanpa pengetahuannya.
Jelasnya, ini kali pertama isterinya menghilangkan diri bagi tempoh lebih daripada 24 jam berbanding sebelumnya yang hanya mengambil masa yang singkat yang tidak mengambil masa lebih daripada sehari.
“Sebelum ini masih lagi boleh berhubung sekiranya dia menghilangkan diri, walaupun dia akan marah saya masih boleh tenangkan dia, kali ini lain sikit sebab lama menghilang.
“Saya juga sudah mencari di beberapa hotel serta hospital berhampiran Putrajaya, namun masih gagal mengesannya. Saya sudah membuat laporan berhubung kehilangannya di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini,” katanya.
Katanya, kali terakhir Hanisah dilihat memakai tudung serta baju kurung berwarna biru sambil membawa beg komputer riba dan beg kecil.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hanisah diminta memaklumkan kepada pihak polis di balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE.