IPOH – Kerajaan Perak akan memberi sokongan terhadap produk inovasi yang dihasilkan di negeri itu sehingga ke peringkat pengkomersialan memasuki pasaran.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu akan dibuat termasuk dengan melibatkan bantuan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).
Katanya, langkah itu akan melibatkan penambahbaikan produk, paten dan pengkomersialan.
“Pertama kena dipatenkan dahulu. Sebelum paten kena buat penambahbaikan, kemudian baru kita boleh komersialkan. Kita akan cari satu GLC untuk pendaftaran dan diniagakan,” katanya kepada pemberita semasa sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023 di sini hari ini.
Dalam program itu, sebanyak sembilan anugerah dipertandingkan dengan hadiah utama ialah Anugerah Inovasi Menteri Besar yang dimenangi oleh Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia. – KOSMO! ONLINE