fbpx

K2

Tinggal solat Jumaat sebab kerja syif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUKUM solat Jumaat adalah fardu ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syarat-syaratnya. – Gambar hiasan

SOALAN: Saya bekerja dalam bidang pergudangan di mana saya dikehendaki menjalankan tugas syif. Apabila syif saya jatuh pada hari Jumaat, pelanggan kami mengarahkan ‘supervisor’ saya mengaturkan giliran secara mingguan bagi pekerja untuk pergi solat Jumaat. Contohnya, dalam satu syif terdapat tiga pekerja Muslim, hanya pekerja A yang dibenarkan, B dan C terpaksa kerja. Minggu seterusnya, B yang dapat pergi solat Jumaat, A dan C terpaksa kerja, minggu ketiga sampailah giliran C untuk solat, A dan B terpaksa kerja. Mohon pencerahan pihak tuan dalam menjelaskan hukum saya meninggalkan solat Jumaat akibat aturan begitu.

JAWAPAN: Solat Jumaat ialah solat dua rakaat yang dilakukan secara berjemaah dalam waktu Zuhur, pada hari Jumaat di masjid atau tempat-tempat tertentu yang diizinkan oleh pihak pemerintah dan didahului dengan dua khutbah. Hukum solat Jumaat ialah fardu ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syarat-syaratnya seperti beragama Islam, akil baligh, berakal, merdeka, bermastautin dan tidak sakit. Oleh itu, jelaslah bahawa solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap umat Islam kecuali hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.”(Surah Al-Jumaah: 9)

Kewajipan solat Jumaat ke atas lelaki Muslim amat jelas. Hikmah dan kebaikan solat Jumaat juga sering disebarluaskan demi menjaga kepentingan solat Jumaat di kalangan lelaki Muslim. Kebenaran daripada al-Quran yang manakah yang hendak disembunyikan, demi mengejar keseronokan duniawi sehingga berkira dengan masa yang tidak sampai dua jam untuk menunaikan solat Jumaat bersama jemaah yang lain.

Tidak menghormati solat Jumaat dengan berjalan ke sana sini, berseronok bersama pasangan dan sebagainya merupakan perbuatan yang keji. Begitu juga melaksanakan tugas atau kerja yang tidak termasuk dalam kategori darurat adalah tidak diharuskan meninggalkannya. Masyarakat harus tahu hakikat itu. Bertindak menegur mereka yang lalai dan sengaja leka dengan hakikat kewajipan bersolat Jumaat adalah tanggungjawab yang dituntut.

Hukum melaksanakan solat Jumaat adalah fardu ain. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Jumaah, ayat 9. Solat Jumaat termasuk dalam fardu utama dalam syariat Islam, selain satu pertemuan besar mingguan bagi umat Islam. Siapa yang mempermudah-mudahkan kefarduannya, Allah SWT mengecap orang itu sebagai munafik. Seluruh umat Islam hendaklah melakukan fardu Jumaat dengan penuh keimanan dan keyakinan yang teguh.

Banyak hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran sekeras-kerasnya kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat tanpa keuzuran kerana perbuatan tersebut adalah tanda bagi orang-orang munafiq dan menjadi sebab turunnya kebinasaan di dunia dan di akhirat.

Nabi SAW bersabda kepada satu kaum, yang tidak bersolat Jumaat:
“Sesungguhnya Nabi SAW bersabda kepada satu kaum yang meninggalkan solat Jumaat: “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya lelaki itu bersolat dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan solat Jumaat.”(Hadis riwayat Muslim)

Demikian pentingnya kefarduan Jumaat.

Yakinlah dengan janji Allah SWT, jika manusia mensyukuri nikmat-Nya dengan mengabdi dan menyembah-Nya, pasti Allah akan menambah nikmat dengan berlimpah ruah. Sebaliknya, jika manusia mengingkari nikmat itu, azab Allah akan datang dengan tidak diduga. Bahkan dalam al-Quran dijelaskan, jika selesai mengerjakan solat Jumaat, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki. Ini membuktikan keluasan nikmat yang Allah SWT buka kepada hamba-Nya yang sudi dan mahu mengabdi kepada-Nya. Firman Allah SWT:
“Apabila kamu selesai menunaikan solat (solat Jumaat) maka bertebaranlah kamu di permukaan bumi dan carilah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak semoga kamu beroleh kejayaan.”(Surah al-Jumaah: 10)

Selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan, maka para pekerja Muslim hendaklah dibenarkan menunaikan solat termasuk kewajipan solat Jumaat. Berdasarkan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia Di Bawah Seksyen 60A(1) Akta Kerja 1955 menyatakan;

“Bagi melaksanakan langkah-langkah di bawah Garis Panduan ini pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja yang beragama Islam untuk menunaikan solat bagi masa:
sekurang-kurangnya selama 20 minit bagi setiap waktu solat; dan
sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat.
Pelaksanaan kewajipan seseorang pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat dalam waktu bekerja boleh diselaraskan oleh majikan mengikut kesesuaian waktu rehat seseorang pekerja.”

Kesimpulannya, cadangan untuk mewujudkan sistem giliran adalah tidak bertepatan dengan kebenaran syarak dan pekerja kilang tidak termasuk dalam golongan yang diberikan pengecualian daripada menghadiri solat Jumaat. Ini adalah kerana beradasarkan peruntukan di bawah Seksyen 60A(1) Akta Kerja 1955 pihak majikan wajib membenarkan para pekerja Muslim menunaikan kewajipan solat Jumaat. Sekiranya pihak majikan tidak mematuhi peraturan ini, pihak pekerja boleh membuat aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pulau Pinang untuk diambil tindakan.

Oleh yang demikian adalah dinasihatkan pihak tuan berbincang terlebih dahulu dengan pihak majikan supaya diberi kebenaran kepada para pekerja atau staf untuk menunaikan tanggungjawab tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang yang diberikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI