fbpx

44 syarikat, individu terima HRD Awards 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADILLAH (empat dari kanan, duduk) dan Sivakumar (tiga dari kanan, duduk) bersama para pemenang yang mendapat anugerah pada HRD Awards 2023 di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Pencapaian cemerlang dalam pembangunan modal insan melayakkan 44 syarikat diberi pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2023 (HRD Awards 2023).

Majlis anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) itu merangkumi kategori perniagaan, individu, jurulatih dan penyedia latihan.

Antara pemenang yang menggondol anugerah dalam beberapa kategori tersebut adalah Maybank, Petronas, Pos Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Indah Water Konsortium (IWK), Revertex Malaysia Sdn Bhd, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.

Turut tersenarai sebagai pemenang adalah Malaysia Airport (Sepang) Sdn. Bhd., Perlis Specialist Hospital Sdn. Bhd., Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., dan Synthomer Sdn. Bhd. dan Sabah Ports Sdn.Bhd.
Kesemua pemenang dinilai dengan teliti oleh panel yang terdiri daripada pengurusan atasan HRD Corp serta wakil-wakil industri daripada persatuan majikan dan agensi kerajaan.

Ia termasuk penilaian daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), SME Corporation Malaysia (SME Corp), SIRIM Berhad, Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM), dan TalentCorp.

Fadillah Yusof

Majlis pengiktirafan telah di­sempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Fadilah dalam ucapannya berkata, Malam Gala HRD Awards 2023 ini merupakan satu sambutan yang meraikan kemajuan negara dalam pembangunan dan pemerkasaan tenaga kerja negara.

Pada masa sama ujarmya, ia dipacu oleh majikan yang luar biasa serta penyedia latihan, jurulatih dan individu yang cemerlang.

“Saya merasa bangga melihat organisasi tempatan telah be­kerja keras dalam mengubah perniagaan dan tenaga kerja mereka demi menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat, memasuki pasaran baharu, mencipta produk dan penyelesaian baharu,” ujar­nya.

Sementara itu, Menteri Sum­ber Manusia, V. Sivakumar ber­kata, anugerah ini merupakan bukti komitmen HRD Corp untuk mengiktiraf serta menggalakkan kecemerlangan di tempat kerja dengan menekankan kepentingan memupuk budaya pembelajaran, pembangunan, dan peningkatan berterusan.

Pada majlis sama, satu anugerah istimewa turut diberikan kepada seorang filantropi dan usahawan Qatar yang menghidap sindrom regresi kaudal, Ghanim Al Muftah.

Anugerah khas itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap komitmen pemberdayaan serta menjadi sumber inspirasi kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh dunia.

GHANIM AL MUFTAH (berkerusi roda) menerima anugerah istimewa sebagai satu penghargaan dan inspirasi kepada komuniti OKU di seluruh dunia.

Ghanim hadir sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Malaysia untuk berucap di National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023.

Dalam acara yang sama, Malaysia Book of Records (MBOR) juga mengumumkan NHCCE 2023 sebagai Acara Modal Insan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia berdasarkan jumlah keseluruhan delegasi dan pameran.

Sementara itu, Pengarah Sumber Manusia Asia Synthomer Sdn. Bhd., Datuk Norashikin Ismail berkata, pengiktirafan yang diterima itu membuktikan komitmen yang telah dilaksana syarikat bagi melindungi kebajikan para pekerja menerusi beberapa pendekatan.

“Selain memastikan pekerja dapat menyumbang pertumbuhan kepada syarikat, kita juga akan pastikan pekerja sentiasa dilindungi menerusi aspek kebajikan bukan sahaja kepada mereka malah turut dilaksanakan kepada ahli keluarga mereka.

“Syarikat menyediakan khidmat nasihat oleh pakar psikologi di mana ia bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada ahli keluarga. Kadang-kadang yang terkesan bukan pekerja, tetapi suami atau isteri serta anak-anak mereka,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan pengiktirafan yang berprestij daripada HRD Corp itu ia akan meningkatkan mutu syarikat dan akan menjadi kebanggaan kepada pekerja.

Pada edisi kali ini, HRD Awards 2023 telah menerima sambutan luar biasa selepas penamaan calon dikeluarkan pada Ogos lalu.

Melalui jumlah permohonan tertinggi sejak bermula lebih dari 20 tahun yang lalu, HRD Awards kali ini menyaksikan saingan yang lebih menarik dan sengit daripada sebelum ini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI