fbpx

Lambat panas punca Young Tigers rebah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Malaysia, Che Nur Aqirullah Khairuzi (kanan) diasak pemain Pakistan di Stadium Hoki Taman Daya kelmarin. – RAJA JAAFAR ALI

PENGENDALI skuad hoki remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim mengakui, Young Tigers ‘lambat panas’ ketika tewas 2-3 kepada Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru kelmarin.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pasukannya ke­tinggalan tiga gol pada separuh masa pertama, sekali gus menyukarkan mereka bangkit untuk mencuri satu mata.

Tambahnya, perancangan untuk bermain secara agresif sebaik perlawanan bermula tidak menjadi, sebaliknya mereka memberikan ruang kepada Pakistan untuk bermaharajalela dalam aksi itu.

“Apabila memasuki bilik persalinan, saya minta pemain beri tekanan kepada lawan. Ia dapat disaksikan sewaktu aksi suku ketiga dan keempat yang sepatutnya berlaku pada separuh masa pertama.

“Bagaimanapun, saya kena bagi pujian kepada pemain selepas ketinggalan 0-3 untuk bangkit dan berupaya meledak dua gol. Namun, ia terlambat bagi mencipta gol ketiga untuk mencuri satu mata,” katanya.

Mengulas mengenai tiga aksi kumpulan, Amin memberitahu, banyak perkara perlu ditambah baik khususnya ketajaman penyudah bagi menghasilkan gol padang serta menyempurnakan pukulan sudut penalti.

“Dalam tiga perlawanan ini, kita melepaskan sembilan gol dan jaringkan lima sahaja. Ada lagi penambahbaikan yang perlu dibuat untuk memastikan pasukan berjaya beraksi di tahap yang lebih baik.

“Kalau tengok kejohanan sebelum ini, contohnya Piala Remaja Asia, kita tewas dengan pasukan gergasi pada suku tiga dan empat. Namun, sekarang kita mampu beri saingan pada lawan di separuh kedua dan ia petanda baik yang boleh kita manfaatkan,” jelasnya.

Young Tigers akan turun menentang Great Britain untuk klasifikasi tempat kelima hingga lapan malam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI