fbpx

Dua lelaki dikesan tangkap ikan guna renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERALATAN renjatan elektrik yang dirampas Jabatan Perikanan Kelantan sewaktu menjalankan Ops Darat di kawasan sawah padi di Kampung Kadok, Kota Bharu pada Khamis lalu

KOTA BHARU – Dua lelaki tidak sempat menikmati hasil tangkapan ikan dengan menggunakan alat renjatan elektrik apabila kegiatan mereka itu dikesan Jabatan Perikanan Kelantan dalam Ops Darat di dua kawasan sawah padi di daerah ini dan Pasir Puteh, Khamis lalu.

Bagaimanapun, dalam serbuan itu, kedua-dua lelaki dipercayai pemilik peralatan tersebut melarikan diri dengan meninggalkan alat renjatan elektrik dan sebuah motosikal apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, pihaknya telah menyita kedua-dua peralatan itu sewaktu menjalankan operasi pada musim tengkujuh melibatkan enam anggota jabatan.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di kawasan sawah padi di Kampung Kadok di sini pukul 10.15 malam.

“Ketika itu, kelihatan seorang lelaki berada di situ untuk menangkap ikan dengan menggunakan renjatan elektrik, namun berjaya melarikan diri dan meninggalkan alat tersebut.

“Dalam serbuan kedua, kita merampas peralatan renjatan elektrik di kawasan sawah padi di Kampung Jelor Selising, Pasir Puteh kira-kira pukul 12.30 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Nazri, lelaki yang dipercayai pemilik alat itu turut berjaya melarikan dengan meninggalkan peralatan itu dan sebuah motosikal.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu juga tidak sempat membawa hasil pulangan ikan ketika itu.

Beliau berkata, kaedah penangkapan ikan menggunakan teknik renjatan elektrik merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Bersama Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1997 Negeri Kelantan.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dijatuhi hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 dan penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

“Tidak dinafikan ramai individu tidak bertanggungjawab akan melakukan kegiatan itu sebagai langkah mudah untuk menangkap ikan lampan, belut, ikan puyu, ikan haruan dan lain-lain terutamanya pada musim tengkujuh.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan kaedah menangkap ikan dengan cara renjatan elektrik, menuba dan bom kerana menyebabkan kepupusan sumber ikan terutamanya benih-benih ikan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI